WTD, WTC 2025 lonjak pelaburan, sektor pelancongan Melaka – KM

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

PUTRAJAYA 4 Disember – Penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 mampu menjadi nilai tambah dalam melonjakkan nilai pelaburan dan industri pelancongan dalam negara dan Negeri Melaka khususnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tiga sambutan bermula daripada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) disusuli dengan WTC dan WTD 2025 serta sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 akan membawa limpahan ekonomi kepada negara dan rakyat.

Menurutnya, pelbagai peluang termasuk produk pelancongan boleh diketengahkan sepanjang tempoh tiga tahun itu.

“Melaka adalah kota pelancongan dan warisan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), jadi banyak produk pelancongan yang boleh diketengahkan untuk menggamit pelancong datang ke Melaka.

“Dengan penganjuran WTD dan WTC 2025 ini dan diperkuatkan lagi dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi nilai tambah kepada negara.

“Kesemua penganjuran ini akan menunjukkan bahawa selain daripada menerima sumbangan pelaburan, sektor pelancongan juga mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Terima kasih diucapkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana memilih Melaka dalam penganjuran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat ‘Kick-Off’ Penganjuran WTD dan WTC 2025 di Bilik Mesyuarat Perdana MOTAC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Md Azhan Samat; Pegawai Kewangan Negeri; Datuk Salhah Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sebagai langkah awal, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi melancarkan penganjuran WTD dan WTC pada tahun 2025.

Jelas Ketua Menteri, jawatankuasa yang bakal ditubuhkan pada awal tahun hadapan itu membabitkan Jawatankuasa Induk, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Kecil yang akan menyelaras penganjuran dua program bertaraf global itu.

“Mesyuarat Jawatankuasa Induk akan dipengerusikan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

“Manakala, bagi Jawatankuasa Kerja, ia akan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha dan Setiausaha Bahagian Dasar Pelancongan Perhubungan Antarabangsa MOTAC, diikuti Jawatankuasa Kecil pula akan dipengerusikan oleh Ketua-ketua Jabatan dan agensi yang dilantik Ketua Setiausaha MOTAC dan Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

826
Kongsi :
Previous post 3,000 delegasi dunia berkampung di Melaka 2025
Next post eMADANI: Elak jadi mangsa penipuan tawar perkhidmatan penebusan tunai
Ubah saiz-+=