3,300 pokok lindungi Empangan Durian Tunggal

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 8 Ogos – Sebanyak 3,300 anak pokok hutan ditanam sekitar Empangan Durian Tunggal sebagai usaha melindungi, mengindahkan dan melestarikan kawasan tadahan air itu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, penanaman pokok menerusi inisiatif Restorasi Empangan Durian Tunggal itu dijayakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

Hameed berkata, kesepakatan antara Kerajaan Negeri dan NGO itu secara tidak langsung menyokong Agenda Nasional Negara iaitu ‘Kempen Penanaman 100 Juta Pokok’ menjelang 2025.

“Dalam menjayakan program penanaman pokok hutan di Empangan Durian Tunggal, Komuniti Ayer Pasir ditubuhkan.

“Ahli komuniti ini berperanan menanam dan memantau tumbesaran 2,700 pokok hutan yang ditanam ketika Fasa I dan tambahan 600 lagi pada Fasa II.

“Bagi Fasa II enam jenis anak pokok hutan ditanam iaitu Merawan Siput Jantan, Kasai, Keruing Neram, Perah, Kapur dan Kelada Kelat Paya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penanaman Pokok Hutan Fasa II ‘Restorasi Empangan Durian Tunggal’, di Durian Tunggal, di sini.

Hadir sama pada program itu Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka Faizah Abdul Rahman @ Sulaiman.

Penanam pokok hutan itu dilaksanakan AIRBNB Community Fund dan Global Environment Center (GEC).

Menurut Hameed, bagi memenuhi kriteria Kawasan Sasaran Penting Keutamaan II, Kerajaan Negeri telah memasang pagar di Empangan Durian Tunggal.

“Usaha itu dimulakan sejak 2016 dan setakat ini pagar dipasang adalah sepanjang 12.1 kilometer, papan tanda amaran kawasan larangan juga dipasang di 40 lokasi. Tindakan itu bertujuan sebagai pemakluman tentang Penrizaban Kawasan Larangan dan Tempat Larangan.

“Selepas ini tiada lagi alasan bagi penceroboh, pemancing atau orang awam memasuki kawasan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, mewakili Kerajaan Negeri pihaknya berharap program seumpama itu dianjurkan dengan lebih kerap lagi, sekali gus meningkatkan kesedaran orang awam untuk bersama-sama menjaga kelestarian alam sekitar terutama kawasan tadahan air.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1528
Kongsi :
Previous post Perintah Khidmat Masyarakat peluang untuk berubah
Next post Pasar ditutup 14 hari, premis ada najis tikus
Ubah saiz-+=