Perintah Khidmat Masyarakat peluang untuk berubah

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Program Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuka peluang kedua buat pesalah jenayah daripada mengulangi kesilapan lampau.

Pengarah JKM negeri, Zulkifli Hanifah berkata, PKM diperkenalkan sejak 2007 menjadi salah satu alternatif dilaksanakan kerajaan bertujuan untuk memulihkan pesalah berbanding diarahkan menjalani hukuman penjara.

Menurutnya, pesalah diperintah menjalani PKM oleh mahkamah perlu menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat tanpa sebarang gaji mahupun bayaran seperti pemuliharaan persekitaran, landskap, pembaikan kecil dan penyajian makanan.

“Terdapat tiga elemen dalam teras dipraktikkan menerusi PKM iaitu Hukuman, Rehabilitasi dan Penginsafan dengan setiap pesalah perlu menjalani program ini berdasarkan jam agregat atau tempoh ditetapkan mahkamah.

“PKM ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Pesalah Muda berusia 18 atau bawah 21 tahun, diikuti Pesalah Dewasa dan Pesalah Kanak-Kanak.

“Sejak 2008 hingga 2022, sebanyak 8,833 kes telah dijatuhkan hukuman PKM di negara ini, dimana ia membabitkan 7,300 kes bagi Pesalah Muda, 144 kes Pesalah Dewasa dan 1,389 bagi Pesalah Kanak-Kanak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2023-08-08 at 15.50.09
PESALAH muda melaksanakan program khidmat masyarakat.

Menurutnya, kos bagi PKM untuk setiap pesalah cuma RM7.30 berbanding RM50 diperuntukkan kepada banduan menjalani hukuman penjara.

Katanya berdasarkan kajian dilaksanakan pada 2019, hanya tiga peratus daripada individu diarahkan menjalani PKM mengulangi kesalahan lampau.

“Sepanjang 2022 pula, daripada 743 kes yang dijatuhkan hukuman PKM hanya 14 kes dilaporkan telah melanggar perintah.

“Mereka diarahkan menjalani PKM masih menjalani kehidupan seperti biasa, namun perlu mengikuti program bersifat dinamik membabitkan aspek pemulihan, kemahiran, kerjaya dan pembangunan kapisiti diri mereka.

“Malah pesalah yang komited dan berpotensi dengan bakat yang mereka ada, berpeluang menerima Bantuan Geran Pelancaran (GP) berjumlah RM2,700 daripada JKM untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1408
Kongsi :
Previous post MPHTJ kibar 3,000 Jalur Gemilang
Next post 3,300 pokok lindungi Empangan Durian Tunggal
Ubah saiz-+=