3,934 rakyat Melaka tidak hadir janji temu vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Seramai 3,934 rakyat di negeri ini yang dijadual menerima suntikan vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak hadir ke janji temu yang ditetapkan di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, ia membabitkan seramai 3,612 orang bagi janji temu vaksin dos pertama dan 322 orang lagi membabitkan dos kedua.

Jelasnya, setakat 25 Mei lalu sebanyak 15,637 janji temu bagi pengambilan vaksin telah dikeluarkan kepada mereka yang layak untuk PICK Fasa 2 membabitkan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berisiko tinggi di negeri ini.

“Mereka yang tidak hadir ini ada pelbagai sebab, antaranya tidak mengetahui janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera atau diuruskan melalui kaedah lain.

“Selain itu, ada juga yang tidak sihat, berada di luar kawasan, tiada kenderaan untuk ke PPV dan ada segelintir yang enggan divaksin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, nama mereka yang tidak hadir menerima suntikan itu tidak akan disenarai hitam mahupun dipadam daripada sistem.

Sebaliknya, mereka masih boleh menghubungi PPV untuk mendapatkan janji temu baharu.

“Kalau tidak dapat datang pada hari yang ditetapkan, nama masih ada dan mereka masih lagi boleh menerima suntikan vaksin.

“Tapi, saya sarankan agar semua mematuhilah janji temu yang ditetapkan bagi memudahkan urusan pemberian vaksin secara berfasa ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post Anak nafi Isa Samad meninggal dunia
Next post UMNO Masjid Tanah anjur bacaan Yasin, tahlil secara maya
Ubah saiz-+=