UMNO Masjid Tanah anjur bacaan Yasin, tahlil secara maya

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Usaha dan berdoa kepada Allah SWT perlu seiring bagi memohon keberkatan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 di negara ini.

Menyedari hal itu, UMNO Bahagian Masjid Tanah tampil menganjurkan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil serta Doa Selamat dalam norma baharu iaitu secara maya berikutan larangan perkumpulan beramai-ramai sepanjang PKP 3.0.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah Abd Hakim Abd Wahid berkata, seramai 100 peserta menyertai majlis itu termasuk seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Masjid Tanah dengan menitipkan doa untuk penduduk Masjid Tanah, negeri Melaka dan Malaysia amnya.

PRIHATIN… sebahagian peserta yang menyertai majlis bacaan Yasin dan tahlil secara maya anjuran UMNO Bahagian Majid Tanah.

“Majlis julung kali diadakan secara maya ini mendapat sambutan amat menggalakkan dan kita membuka dua saluran aplikasi Google Meet untuk peserta.

“Majlis bacaan Yasin yang diadakan di kediaman masing-masing bermula jam 7.45 malam semalam dan dipimpin Ustaz Mohamad Azmi Sabtu.

“Antara VIP yang turut serta termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka merangkap Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Abd Hakim berkata, dalam majlis itu mereka turut menitipkan doa buat pemimpin UMNO yang telah tiada, uzur mahupun yang sihat agar terus diberkati dan dipermudahkan segala urusan dunia mahupun akhirat.

Sementara itu, itu Ab Rauf menerusi catatan di laman Facebooknya melahirkan kesyukuran majlis berkenaan berjalan lancar.

“Terima kasih kepada semua peringkat kepimpinan UMNO, Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian Masjid Tanah yang dapat sama-sama mengadakan majlis ini yang dijalankan secara norma baharu secara maya.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar wabak bahaya Covid-19 ini diangkat dan dibawa pergi jauh oleh yang Maha Esa.

“Buat parti keramat UMNO yang menempuh ulang tahun ke-75 tahun pada 11 Mei lalu didoakan akan terus kukuh dan dihormati,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

764
Kongsi :
Previous post 3,934 rakyat Melaka tidak hadir janji temu vaksin
Next post Perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya masih beroperasi satu landasan
Ubah saiz-+=