45,000 kenderaan dijangka masuk Melaka hujung minggu ini

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 11 Okt. – Polis Melaka menjangkakan kira-kira 45,000 kenderaan akan memasuki negeri Melaka pada setiap hari bermula hujung minggu ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Razali Abu Samah berkata, jangkaan itu susulan pengumuman kerajaan yang membenarkan aktiviti rentas negeri bermula hari ini.

Selain itu, katanya orang ramai juga dijangka tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung atau bercuti pada hujung minggu ini berikutan cuti umum Maulidur Rasul yang akan jatuh pada Selasa depan.

RAZALI (kiri) bersama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya (kanan) memeriksa sijil vaksinasi lengkap pengguna jalan raya di Plaza Tol Ayer Keroh. Foto: MR. Azli.

“Kita memang jangkakan puluhan ribu kenderaan akan masuk ke Melaka hujung minggu ini memandangkan ramai yang akan memanfaatkan cuti umum yang jatuh pada Selasa minggu hadapan.

“Saya difahamkan oleh pihak trafik, sekitar 35,000 hingga 45,000 kenderaan dijangka memasuki Melaka pada setiap hari bermula Jumaat.

“Justeru, kita telah bersedia untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan berkala di pintu masuk tol dan kawasan tumpuan pelancong bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” katanya yang ditemui di Plaza Tol Ayer Keroh, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan menguatkuasakan sekatan jalan raya bergerak (mobil) sepanjang tempoh pintu sempadan negeri dibuka bermula hari ini.

Ujar beliau, SJR bergerak itu akan diadakan secara rambang di kawasan tumpuan untuk melihat sijil vaksinasi lengkap orang ramai, khususnya yang datang dari luar Melaka.

“Sekiranya kita mengesan ada yang datang dari luar Melaka, namun tidak mempunyai vaksinasi lengkap, tindakan boleh diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Jadi, itu antara tatacara yang akan kita lakukan untuk memastikan Melaka hanya dibanjiri orang ramai yang lengkap vaksin sahaja,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1202
Kongsi :
Previous post Seorang lelaki tempatan dikhuatiri jatuh laut- APMM Selangor
Next post PH failkan kes di Mahkamah Tinggi minggu depan
Ubah saiz-+=