PH failkan kes di Mahkamah Tinggi minggu depan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDAR MELAKA 11 Okt – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari mengesahkan akan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Melaka bagi mencabar keabsahan pembentukan kerajaan sementara (caretaker) berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu depan.

Adly berkata, pelbagai dokumen sedang disiapkan pada peringkat akhir oleh sepasukan peguam dilantik PH dan dijangka memfailkannya selewat-lewatnya awal minggu depan.

“PH tidak mengiktiraf kerajaan sementara yang dibuat secara tergesa-gesa dan bagaimana Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang sudah kehilangan majoriti di DUN boleh menasihati Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam supaya membubarkan DUN?

“Hal ini sangat pelik dan kami akan mencabar kesahihan atau keabsahan kerajaan caretaker di mahkamah secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu dengan pengumuman mengenainya dibuat Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dengan mendakwa ia dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri.

Adly juga berkata, jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan, jentera PH sudah bersedia untuk merampas semula negeri ini daripada Barisan Nasional (BN).

“Jentera di seluruh negeri sudah bersedia dan akan digerakkan sebaik sahaja ada perkembangan lanjut mengenai PRN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan jika empat bekas ADUN yang menarik sokongan kepada Sulaiman iaitu Datuk Seri Utama Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee ingin menyertai parti komponen dalam PH.

PH sekarang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua AMANAH dan dua PKR manakala empat bekas ADUN terbabit setakat ini masih menjadi ADUN Bebas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

724
Kongsi :
Previous post 45,000 kenderaan dijangka masuk Melaka hujung minggu ini
Next post Rentas negeri: 12,000 pengunjung bakal banjiri Zoo Melaka
Ubah saiz-+=