463 nelayan Melaka, Negeri Sembilan terjejas projek KLIP terima saguhati

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LINGGI 2 November – Seramai 463 nelayan yang terjejas akibat cadangan pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) menerima wang saguhati.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia membabitkan pembayaran ex-gratia berjumlah RM5,401,440 secara keseluruhan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk perbelanjaan infrastruktur di Kawasan Nelayan Melaka Barat bagi tahun 2023, manakala RM1 juta pula bagi peruntukan pembangunan ekonomi di Kawasan Nelayan Melaka Barat.

“Baki pampasan sebanyak RM4,301,321.25 akan dibayar kepada nelayan-nelayan yang terkesan di daerah Alor Gajah, Melaka dan Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Pemberian ini melibatkan tiga fasa pemberian wang saguhati ex-gratia kepada nelayan laut dan nelayan darat yang terjejas di daerah Alor Gajah dan Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Bayaran Saguhati Ex-Gratia Kepada Nelayan Yang Terjejas Akibat Cadangan Pembangunan Pelabuhan KLIP di Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Salleh dan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengerusi KLIP, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob; Pengarah Urusan KLIP, Tan Sri Noor Mustafa Kamal Yahya serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut memaklumkan bayaran fasa pertama tahun 2023 akan diserahkan kepada 463 orang nelayan yang terdiri daripada 308 nelayan di Daerah Alor Gajah, 115 nelayan dari Port Dickson serta 40 orang nelayan darat di daerah Alor Gajah.

“Kerajaan Negeri komited dalam memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan nelayan setempat dari Melaka dan sempadan Negeri Sembilan yang terjejas sumber pencarian diutamakan selain mengambil kira Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

“Kita harapkan juga pemberian wang sagu hati ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada nelayan-nelayan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1000
Kongsi :
Previous post Pilih ejen umrah berdaftar, elak ditipu – Exco
Next post JKM turun padang periksa taska, tadika
Ubah saiz-+=