Peniaga syukur jualan laris dek penangan PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BUKIT KATIL 20 Nov – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuka rezeki kepada peniaga kecil yang tidak melepaskan peluang mengambil langkah proaktif dengan berniaga berhampiran pusat mengundi.

Mohamad Nazaruddien Mohamad Yusoff, 31 tahun, yang juga merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil bersyukur jualan air jambu dan buah digerainya terjual lebih cepat berbanding hari biasa.

Biarpun pada awalnya jualan agak perlahan, namun dia dan rakan niaga, Ahmad Danial Abdul Malek, 19 tahun tidak duduk diam apabila mula didatangi pengunjung sebaik selesai melaksanakan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil.

MOHAMAD Nazaruddien Mohamad Yusoff, 31 tahun

“Alhamdulillah saya tengok suasana memang meriah dan orang dah mula nak keluar mengundi sejak pagi tadi. Jadi apa yang saya nampak pukul 12.00 tengahari tadi sambutan orang ramai dah semakin rancak.

“Bila PRN ini, saya nampak jualan itu lebih cepat daripada biasa. Kalau biasa tu nak kena tunggu sampai pukul 4 petang, baru nak sama tahap jualan macam sekarang ini”, katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

Sementara itu, peniaga yang berasal dari Selangor, Noor Izrain Kamsiran, 55 tahun, mengambil peluang membuka gerai lebih awal berbanding kebiasaan, berikutan mencari peluang tatkala senario mengundi di kawasan itu bakal memberi rezeki yang lebih buatnya.

NOOR Izrain Kamsiran, 55 tahun

“Biasa saya berniaga pukul 1 tengahari tapi kali ini saya mengambil peluang berniaga awal dan Alhamdulillah daripada pagi tadi dah ada pengunjung tak putus-putus, walaupun tak ramai. Mungkin disebabkan senario mengundi sekarang banyak pusat dibuka, jadi orang datang dan pergi dengan cepat.”

“Kebiasaannya saya target orang yang ‘lunch time’ dia keluar sebab saya berniaga dekat Duyong. Jadi saya harapkan jualan ketika orang balik kerja,” katanya.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Pusat Pembuangan Undi di SMK Bukit Katil mendapati situasi di pusat undi tersebut berada dalam keadaan terkawal dengan pemantauan anggota polis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1192
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: 50 peratus pengundi keluar mengundi setakat 2 petang
Next post PH lapor polis, ejen pusat mengundi diarah keluar
Ubah saiz-+=