Sorting by

×

47 lagi Tabika, Taska mula dibina tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

TABOH NANING 23 Jun – Kerajaan akan membina 47 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh negara tahun ini kecuali Pahang dan Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementerian memperuntukkan sebanyak RM21.9 juta bagi membina kemudahan pendidikan itu.

“Kemudahan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun, sekali gus memenuhi permintaan pendidikan awal kanak-kanak di bandar dan pinggir bandar.

“Pelaksanaan projek berjalan dengan baik dan kontraktor juga sedang dilantik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) 2022 di Dewan Puncak Ilmu, Kem Permata Resort, Ayer Paabas, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin dan Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Bidin.

Sementara itu katanya kerajaan tahun ini sedang membangunkan akses internet ke Tabika di negara ini dalam usaha melahirkan generasi bijak digital.

Katanya, 700 Tabika dan Taska akan dibekalkan dengan akses internet dengan sekurang-kurangnya 50 peratus premis akan dilengkapi kemudahan itu menjelang 2030.

“Perkara itu dijalankan secara berperingkat bermula tahun ini dengan pemasangan kemudahan jalur lebar (Wifi), pemberian komputer riba dan televisyen pintar,” katanya.

Terdahulu, Abdul Rahman menyampaikan sijil kepada 349 peserta dari Melaka, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu berjaya melengkapkan kursus SPAK.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Dekan, Anugerah Pelatih Cemerlang dan Anugerah Terbaik Keseluruhan SPAK 2022 kepada peserta cemerlang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1112
Kongsi :
Previous post Murid temui ajal dalam perjalanan ke sekolah
Next post Jazlan tak patut cakap begitu terhadap PM – Abdul Rahman
Ubah saiz-+=