Murid temui ajal dalam perjalanan ke sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PAYA RUMPUT 23 Jun – Murid perempuan darjah satu Sekolah Kebangsaan (SK) Cheng maut manakala nenek dan bapa saudaranya cedera selepas kereta dinaiki gagal dikawal sebelum merempuh sebuah lori di Jalan Krubong Tampoi di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu, mangsa, Nurul Qalisha Abdul Rahim yang duduk di tempat belakang kereta PERODUA Kancil maut di lokasi kejadian manakala neneknya yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan berusia 58 tahun patah tangan kanan dan bapa saudaranya yang memandu kereta terbabit berusia 29 tahun cedera di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 70 tahun dalam perjalanan dari Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) menghala ke Krubong manakala kereta terbabit dari arah bertentangan.

Katanya, setibanya di selekoh Kawasan Perindustrian Cheng, kereta terbabit berpusing sebelum masuk ke laluan lori berkenaan.

“Lori berkenaan tidak sempat mengelak sebelum dirempuh kereta terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, kanak-kanak terbabit maut di lokasi kejadian manakala penumpang tempat duduk hadapan patah tangan kanan dan pemandunya cedera,” katanya ketika dihubungi di sini, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala penumpang yang cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Ketika kejadian difahamkan ibu dan bapa saudara mangsa dalam perjalanan menghantaranya ke sekolah.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati ketika kemalangan itu berlaku hujan lebat dan mempunyai lorong dua hala berselekoh.

“Setakat ini tiada saksi bebas tampil namun rakaman ‘dashcam’ sebuah lagi kereta yang berada di belakang lori berkenaan sedang dikesan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1561
Kongsi :
Previous post Usaha dua kali ganda jika mahu atasi Axelsen – Chong Wei
Next post 47 lagi Tabika, Taska mula dibina tahun ini
Ubah saiz-+=