476,100 benih ikan dan udang dilepaskan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PAYA LEBAR 4 Sept – Sebanyak 476,100 benih ikan dan udang dilepaskan di perairan umum negara sejak Januari hingga sekarang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, mengikut pecahan menerusi insiatif Jabatan Perikanan Malaysia itu, sebanyak 300,000 benih udang dan 176,100 benih ikan dilepaskan.

Jelasnya, manfaat yang dijalankan kerajaan adalah bagi memastikan bekalan protein negara mencukupi untuk keperluan rakyat dan akan terus meningkat bergantung kepada keperluan dan populasi penduduk.

“Bekalan ikan akan terus menjadi cabaran besar kepada jabatan itu akibat beberapa faktor antaranya perubahan iklim, kenaikan harga input, liberalisasi kewangan dan persaingan makanan.

“Pelepasan benih udang bertujuan menambah dan mengekalkan stok udang galah dan melindungi stok ikan asli yang terdapat di perairan umum.

“Malah kaedah ini dapat memperkenalkan perikanan rekreasi sebagai satu aktiviti utama dalam perairan yang berdekatan dengan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan benih udang galah di Paya Lebar, Ramuan China Besar di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Jabatan Perikanan Malaysia, Ahmad Tarmidzi Ramly, Exco Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Norhizam Hassan dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Menerusi program itu, kementerian telah memperuntukan RM14,000 bagi melepaskan 100,000 benih udang galah yang juga sebahagian kalendar aktiviti Pejabat Perikanan negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Hamzah menafikan berlaku lambakan penawaran udang galah di negeri ini.

“Kita lihat biarpun tiada permintaan pada restoran dan kedai makan ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun udang masih menerima sambutan di pasaran.

“Berbalik isu di negeri ini semua permintaan udang masih menerima sambutan sehinggakan ramai pemborong dari Johor datang untuk membelinya untuk dipasarkan termasuk secara atas talian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post The Siamese Farang: Quest for Siwilai and Identity
Next post Pesakit kategori 3 ada rekod komorbid dimasukkan ke hospital, PKRC – Khairy
Ubah saiz-+=