50 pegawai dan anggota polis derma darah

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Polis Melaka tampil menghulurkan bantuan tanggungjawab sosialnya menerusi Kempen Derma Darah kepada Hospital Melaka (HM) bagi menampung kekurangan dan keperluan tabung darah hospital terbabit.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan hospital berkenaan bekalan tabung darah di hospital itu berkurangan terutama di bahagian Unit Rawatan Rapi (ICU) susulan peningkatan kes COVID-19.

Katanya, prihatin dengan keperluan itu, pihaknya menjalankan kempen berkenaan semalam bagi membolehkan pegawai dan anggota polis serta kakitangan awam dalam pasukan itu menderma darah bagi keperluan pesakit di hospital berkenaan.

“Bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) hanya membenarkan 50 pegawai dan anggota menderma darah.

“Menerusi program itu, kita bukan sahaja membantu masyarakat di bahagian hadapan, malah masyarakat di belakang bagi memastikan keperluan darah di negeri ini mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini.

Menurutnya, pihaknya akan terus menderma darah bagi menampung keperluan itu dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan HM.

“Sambutan pada kempen derma darah itu tiga kali ganda daripada jumlah disasarkan, namun kita terpaksa akur dengan SOP dan hanya membenarkan 50 orang sahaja terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

610
Kongsi :
Previous post Seri Negeri ditutup, tujuh kes positif
Next post Lelaki dituduh subahat dengan rakan, beri rasuah RM120,000 kepada pegawai polis
Ubah saiz-+=