Seri Negeri ditutup, tujuh kes positif

Masa Membaca:56 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Seri Negeri ditutup lima hari susulan tujuh kes positif COVID-19 dikesan membabitkan kakitangan yang bertugas di bangunan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, arahan penutupan itu bagi membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menjalankan siasatan untuk mengesan kontak rapat kepada tujuh individu berkenaan.

Katanya, bagaimanapun punca jangkitan ketujuh-tujuh kes terbabit masih belum diketahui dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Tindakan penutupan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) secara pentadbiran berkuat kuasa 31 Mei (Isnin) hingga 4 Jun (esok) sehingga selesai siasatan dan kerja-kerja pencegahan serta saringan dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tujuh kes berkenaan membabitkan enam di Blok Bentara (Kewangan) manakala satu lagi kes di Blok Laksamana.

“Setakat ini, seramai 178 individu telah menjalani saringan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Rahmad berkata, sebanyak 299 kes dikesan dalam Kluster Berendam membabitkan sebuah kilang di sini, hari ini.

Berikutan itu katanya, kilang berkenaan diarahkan tutup selama seminggu bermula semalam hingga Rabu ini bagi membolehkan langkah pencegahan dilakukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1335
Kongsi :
Previous post Bantuan rakyat Melaka diumum esok- Sulaiman
Next post 50 pegawai dan anggota polis derma darah
Ubah saiz-+=