50,000 ‘healing’ di Banda Hilir

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 13 Februari – Zon Bebas Kenderaan dilaksanakan Kerajaan Negeri nyata menjadi fenomena baharu buat pelancong yang datang bercuti ke negeri ini apabila lokasi itu ‘diserbu’ orang ramai dan merekodkan kedatangan lebih 50,000 pengunjung.

Malah penempatan baharu peniaga Uptown Pahlawan Walk di lokasi itu juga menjadi tarikan kepada pengunjung untuk ‘mencuci mata’ melihat barangan jualan dan berbelanja sambil menikmati kemeriahan suasana.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, jumlah kedatangan pengunjung ke kawasan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan termasuk di Jonker Walk amat memberangsangkan serta terdapat peningkatan.

“Ini jelas dapat dilihat apabila pada Ahad sehingga jam 9 malam seramai 15,000 pengunjung direkodkan mengunjungi kawasan itu. Malah untuk tempoh Jumaat sehingga Ahad pula lebih 50,000 kehadiran pengunjung direkodkan.

“Jumlah ini memang agak luar biasa apabila dibanjiri dengan kehadiran orang ramai yang bukan sahaja ingin merasai suasana malam penuh warna-warni tetapi juga berbelanja,” katanya.

Menurutnya, pasukan penguatkuasa dan petugas kebersihan turut ditempatkan MBMB di sekitar bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.

“Sepanjang kawasan Zon Bebas Kenderaan ini, MBMB menempatkan pasukan penguatkuasa ia untuk memastikan aliran trafik berjalan lancar dan membantu pengunjung jika mereka berdepan sebarang kesukaran.

“Malah bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung juga kita turut menempatkan petugas kebersihan agar kawasan sekitar sentiasa terjaga serta berada dalam keadaan bersih,” katanya.

Jelasnya, MBMB turut menyediakan laman i-Trafik bagi memudahkan pengunjung merancang perjalanan mereka serta mencari lokasi tempat letak kereta.

“Laman i-Trafik ini memaparkan keadaaan semasa ‘real time’, yang mana bagi merancang perjalanan atau mengetahui lokasi tempat letak kereta pengguna boleh layari itrafik.mbmb.gov.my,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6578
Kongsi :
Previous post Machap Hill bakal jadi litar ‘motocross’
Next post Remaja melecur di kepala kebakaran rumah, tadika di Taman Johor
Ubah saiz-+=