500,257 pencari kerja dapat pekerjaan melalui 27 inisiatif kerajaan – PM

Masa Membaca:3 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Seramai 500,257 pencari kerja telah berjaya mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 3 Dis lepas, sekali gus melepasi sasaran 500,000 peluang pekerjaan yang telah ditetapkan Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kejayaan itu sangat bermakna memandangkan pasaran buruh telah menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan COVID-19 sejak Mac tahun lepas sehingga menyebabkan pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi iaitu 5.3 peratus pada Mei tahun sama.

Antara inisiatif utama yang telah menyumbang kepada pencapaian kejayaan tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP).

“Setakat 3 Dis juga, PenjanaKerjaya 2.0 telah berjaya menempatkan seramai 221,966 pekerja, melangkaui sasaran keseluruhan 200,000 peluang pekerjaan bagi 2021.

“PenjanaKerjaya dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menyediakan insentif penggajian sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan serta program latihan kemahiran tinggi atau sijil profesional kepada pekerja sehingga RM7,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata MySTEP, inisiatif kerajaan yang bernilai RM700 juta, juga berjaya melangkaui sasaran keseluruhan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini dengan menempatkan seramai 61,328 pekerja secara kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Daripada jumlah itu, seramai 41,680 orang telah berjaya ditempatkan di sektor awam manakala baki 19,648 orang ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka.

“Di bawah program tersebut, pemohon ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Petronas, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Khazanah Nasional.

“Sejak program PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP mula dilaksanakan Januari lepas, jumlah pekerjaan yang disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan yang ditetapkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata selain dari PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 74.2 peratus daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

Beliau berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi 2021.

Ismail Sabri berkata seperti yang dibentangkan melalui Belanjawan 2022, kerajaan di bawah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

”Kerajaan melalui Perkeso akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion dan akan memberi insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

“Kerajaan berharap usaha ini dapat mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu bagi tahun hadapan,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif MySTEP dengan penawaran 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mereka mulai Januari 2022.

Perdana Menteri juga yakin strategi yang dirangka Majlis Pekerjaan Negara (NEC) akan dapat meneruskan momentum penciptaan pekerjaan selaras dengan pemulihan dan pembukaan pelbagai sektor ekonomi.

Seterusnya, NEC juga akan berusaha menangani isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta isu berkaitan penggajian, katanya.

“Perkembangan ini sekali gus dapat memperkasakan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia terutama kumpulan asnaf, B40 dan M40.

“Inisiatif ini amat penting selepas pelbagai sektor ekonomi dibuka, kerajaan memastikan mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memulihkan penjanaan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kesemua kementerian, agensi kerajaan dan GLC yang telah menyumbang kepada kejayaan penciptaan pekerjaan yang melangkaui sasaran pada tahun ini. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

552
Kongsi :
Previous post Sektor automotif kembali rancak menuju penghujung tahun
Next post Isu had umur belia dibincang Selasa depan – Ahmad Faizal
Ubah saiz-+=