54 peratus pencarum KWSP miliki simpanan kurang RM50,000

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

ALOR GAJAH 26 Sept. – Sebanyak 54 peratus daripada 14.6 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 untuk mengharungi kehidupan dalam tempoh persaraan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, secara keseluruhan hanya 34 peratus pencarum aktif KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur.

Katanya, hasil kajian KWSP merekodkan bahawa 54 peratus dari ahli yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 berbanding dengan simpanan asas ditetapkan iaitu RM240,000.

“Jumlah itu (RM240 ribu) diperlukan untuk mereka mengharungi tempoh persaraan selama 20 tahun berdasarkan jangka hayat 20 tahun, dengan perbelanjaan asas mengikut jumlah pencen minima RM1,000 sebulan.

“Menyedari keadaan yang agak membimbangkan, ini berkemungkinan menjadi lebih serius pada masa akan datang sekali gus memberi kesan negatif kepada kesejahteraan hidup rakyat dan membebankan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Program ‘Financial Well-Being’ dan Iinsentif i-Suri Peringkat Negeri Melaka di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Program berkenaan dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman; Naib Canselor KUIM Datuk Prof. Dr. Mohd Taib Dora.

Mengulas lanjut, katanya keadaan itu menunjukkan tahap literasi kewangan rakyat Malaysia adalah rendah iaitu 36 peratus berbanding Singapura sebanyak 59 peratus dan Myanmar, 52 peratus.

Justeru itu, jelasnya KWSP menggalakkan orang ramai terutama bagi pekerja yang bekerja sendiri termasuk peniaga atas talian dan pemandu e-hailing berdaftar di bawah Program Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) bagi menjamin masa depan terutama pada tempoh persaraan mereka.

Katanya setakat akhir Jun lalu, hanya 255,958 orang telah berdaftar di bawah i-Saraan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 16,068 orang adalah mereka yang berdaftar di Melaka.

“Mereka layak mendapat insentif kerajaan sehingga 15 peratus setahun berdasarkan formula kiraan yang ditetapkan bagi simpanan tersebut.

“Ini adalah usaha kerajaan dan KWSP utk memastikan bahawa simpanan persaraan untuk ahli terpelihara dan terjamin selaras dengan komitmen KWSP untuk membantu ahlinya masa hadapan yang lebih baik,” katanya.

Views:

282
Kongsi :
Previous post Nasib Setinggan Kampung Jawa: MAIM bantu keluarga cari perlindungan
Next post Promosi pelancongan Melaka gah di LRT Kuala Lumpur
Ubah saiz-+=