Sorting by

×

Nasib Setinggan Kampung Jawa: MAIM bantu keluarga cari perlindungan

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Sept. – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah memainkan peranan bagi mengambil tindakan segera menyelamatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal di Kampung Jawa, semalam.

Pegawai Zakat MAIM Daerah Melaka Tengah, Mohd Nazri Ab Rahim berkata, tindakan segera itu telah dilaksanakan pihaknya dengan meletakkan dua keluarga berkenaan di penempatan sementara yang disediakan pihaknya.

Jelasnya, seramai 11 orang isi rumah dari dua keluarga tersebut telah diletakkan di Asrama Mualaf Kompleks Darul Huda, Balai Islam MAIM sebelum tindakan segera akan diambil bagi memastikan keluarga berkenaan mendapat pelindungan tempat tinggal.

“MAIM sedang berusaha mencari rumah buat keluarga yang masih mempunyai anak kecil ini bagi memastikan mereka selesa dan mampu menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Melalui inisiatif ini, MAIM akan cuba memberi bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terpaksa berpindah ini malah kita akan membantu keluarga ini dari dengan menawarkan pembayaran deposit sewaan rumah yang berpatutan kepada mereka.

“Perkara ini perlu dilaksanakan segera demi memainkan peranan bagi membantu umat Islam di atas dasar kemaslahatan ummah itu sendiri.

“Buat masa ini kita mengharapkan agar semua pihak bertenang dan tidak membuat tindakan terburu-buru dengan melahirkan pelbagai spekulasi kerana kita masih di dalam proses mendapatkan bantuan bagi penduduk terjejas ini melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, pihaknya difahamkan sebanyak 11 pintu rumah setinggan yang terjejas dan hanya dua rumah sahaja yang berkeluarga, manakala selebihnya didiami oleh golongan bujang malah ada antara mereka bukan beragama Islam dan bukannya anak jati negeri ini.

“Katanya, pihaknya tidak menolak sebarang permohonan bantuan daripada mana-mana individu bagi menyalurkan bantuan kepada golongan terbabit.

“Kita tidak menolak sebarang permohonan bantuan malah setakat ini kita masih belum menerima permohonan bagi menyalurkan bantuan sara hidup bulanan dan sebagainya.

“Kita akan menjalankan siasatan kepada golongan ini setelah menerima permohonan bagi melengkapkan beberapa kriteria lain sebelum ia diluluskan,” katanya.

Media semalam melaporkan, beberapa keluarga di Kampung Jawa terpaksa mengosongkan kediaman mereka meskipun mendakwa sudah menetap di kawasan itu sejak 50 tahun lalu.

Ia susulan notis arahan daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) supaya mereka berbuat demikian berikutan rumah kayu yang dibina di atas tanah persendirian itu berada di pinggir Sungai Melaka dan dikategorikan sebagai tidak selamat didiami.

Rentetan itu, kesemua keluarga terlibat perlu akur dengan arahan berpindah itu mengikut notis di bawah Seksyen 83(1) Akta 133.

Views:

944
Kongsi :
Previous post “Tidak mengapa, sudah nasib kami begini”
Next post 54 peratus pencarum KWSP miliki simpanan kurang RM50,000
Ubah saiz-+=