Sorting by

×

60 peratus penggiat pelancongan Melaka sudah divaksin

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

REMBIA 28 Ogos – Kira-kira 60 peratus penggiat industri pelancongan di negeri ini sudah menerima vaksinasi lengkap dua dos dan bukan sebaliknya seperti dilaporkan sebelum ini.

Exco Pelancongan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, beliau meminta maaf kerana terdapat sedikit kekeliruan mengenai data terdahulu yang diumumkan pagi tadi.

“Angka sebenarnya adalah 60 peratus atau 7,550 penggiat industri pelancongan di Melaka sudah menerima vaksin dua dos.

“Manakala setakat ini berdasarkan data diterima Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) sekitar 600 orang lagi masih belum menerima vaksin.

“Jadi angka 60 peratus telah menerima vaksin itu kalau kita lihat sudah hampir dengan rancangan awal kita yang menganggarkan sekurang-kurangnya sekitar 70 peratus penggiat pelancongan telah divaksin,” katanya dalam satu kenyataan kepada Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Jailani hari ini hadir program Pasar Segar Terkawal sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-64 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka di perkarangan JAPERUN Rembia.

Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri itu menggesa baki 40 peratus lagi segera menerima vaksin.

“Ada sesetengah pengusaha hotel mereka mungkin sudah tidak mempunyai bisnes atau dia buat penutupan sementara sebab itu dia tidak mendapat vaksin.

“Kita minta tolong segerakan vaksin kerana Melaka mesti memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang September ini sebab menjelang Disember memang kita nak buka sektor pelancongan supaya sektor kita kembali revive (bertenaga),” katanya.

MUHAMMAD Jailani (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada pengusaha sayur, Mohd Afiq Aidi mengenai perniagaannya dalam suasana pandemik COVID-19 ketika melawat tapak program Pasar Segar Terkawal sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-64 anjuran FAMA di perkarangan JAPERUN Rembia hari ini. Foto Norizan Muhid

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan memastikan 40 peratus yang belum divaksin itu akan menerima dos di bawah program vaksinasi khas sektor pelancongan di peringkat kerajaan negeri dan program “Free COVID Destination” di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Melaka (MOTAC).

“Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) juga telah mendapat data penggiat industri pelancongan yg masih belum terima vaksin yang dianggarkan sekitar 600 orang.

“Mereka ini terlibat dalam sektor perhotelan, tempat tarikan, ejen pelancongan dan golf serta pemandu pelancong dan berdasarkan data ini kita sasarkan untuk masuk ke Fasa 3 PPN selewat-lewatnya Oktober depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post Ibu sering terbayang wajah dua arwah anak
Next post PM pulang ke kampung halaman, ziarah pusara ibu bapa
Ubah saiz-+=