Sorting by

×

Ibu sering terbayang wajah dua arwah anak

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TABOH NANING 28 Ogos – “Hati ibu mana yang tidak pedih dan hiba kehilangan anak yang disayangi, apatah lagi dua orang sekali gus.

“Setiap kali wajah mereka hadir dalam fikiran, air mata saya tidak mahu berhenti tetapi saya tidak lupa menyedekahkan al-Fatihah,” kata Siti Nurhidayah Tompang, 34.

Ibu kepada Allahyarham Zahrul Fitri Amer, 16, dan Afiq Wafiy, 4, itu berkata, kedua-dua arwah amat rapat dengannya dan bapa, Amer Abdul Malek, 43, serta tiga lagi adik-beradik mereka.

Katanya, selepas lima hari melalui detik yang amat pedih akibat kehilangan arwah, dia semakin kuat untuk menerima hakikat sudah kehilangan mereka berbanding pada malam kejadian dan tiga hari selepas itu.

“Sepanjang lima hari kehilangan kedua-dua arwah, saya sering terbayang wajah mereka dan ada kalanya merasakan mereka seolah-olah masih ada bersama-sama saya dan anggota keluarga yang lain,” katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof di kediamannya di Taman Kebaya, di sini hari ini.

Dalam kunjungan itu, Mohd Redzuan meminta Siti Nurhidayah dan Amer bersabar serta reda dengan ketentuan Allah, selain menyampaikan sumbangan wang dan bahan makanan.

Sementara itu, Amer berkata, sejak kejadian pada jam 9.15 malam, 23 Ogos lalu, dia masih belum menyambung tugasnya sebagai pemandu lori kerana masih bersedih.

Dalam kejadian berkenaan, kedua-dua arwah meninggal dunia selepas motosikal Yamaha Legenda yang ditunggangi arwah Zahrul Fitri dan dibonceng arwah adiknya merempuh tembok di tepi jalan di kampung berkenaan.

Zahrul Fiti adalah anak sulung daripada lima adik-beradik manakala Afiq Wafiy anak bongsu dan mereka meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di kepala.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

658
Kongsi :
Previous post “Saya terkilan dari sudut…” – Pak Wan
Next post 60 peratus penggiat pelancongan Melaka sudah divaksin
Ubah saiz-+=