“Saya terkilan dari sudut…” – Pak Wan

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TABOH NANING 28 Ogos – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof menafikan terkilan kerana tidak dilantik semula menganggotai jemaah Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Sebaliknya, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Wan mengakui terkilan kerana tidak sempat menyempurnakan beberapa program dirangkanya ketika memegang jawatan berkenaan.

Beliau berkata, program seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Sifar Asap Karbon 2050 dan pengurangan import makanan, meninggalkan kesan pada dirinya.

“Saya terkilan dari sudut melestarikan langkah yang sudah kita susun dan saya harap mereka akan sambung dan pegawai kerajaan mengangkatnya kepada menteri yang menggantikan saya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada Amer Abdul Malek, 43, dan isteri, Siti Nurhidayah Tompang, 34, yang kehilangan dua anak, Zahrul Fitri Amer, 16, dan Afiq Wafiy, 4, akibat kemalangan jalan raya pada malam 23 Ogos lalu, di Taman Kebaya, di sini hari ini.

Kedua-dua beradik berkenaan meninggal dunia selepas motosikal ditunggangi Zahrul Fitri dan dibonceng Afiq Wafiy, merempuh tembok di tepi jalan di Kampung Ayer Pa’abas, di sini pada jam 9.15 malam.

Mengenai keanggotaan 23 pemimpin BERSATU dalam Kabinet, Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU berkata, ia tidak banyak bezanya dengan keanggotaan ketika dalam Kabinet bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pemimpin BERSATU dalam senarai Kabinet serupa saja, cuma yang bezanya ialah Pak Wan digugurkan tetapi saya percaya barisan Kabinet akan berfungsi dengan baik.

“Saya ucapkan tahniah kepada jemaah Kabinet yang ada perubahan sedikit dan kita akan berikan kerjasama atas semangat kita dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Beliau berkata, pelantikan dan pengguguran pemimpin dalam Kabinet adalah sebahagian daripada perjalanan politik tetapi beliau berjanji tetap menyokong kerajaan.

“Saya tidak terkilan kerana tidak dilantik semula kerana ini semua pergerakan politik…Pak Wan secara peribadi akan terus menyokong kerajaan untuk merealisasikan apa yang sudah kita mulakan,” katanya.

Beliau berkata, selepas merangka beberapa program di peringkat makro ketika menjadi anggota Kabinet, sekarang adalah masa untuk penggantinya dan pegawai kerajaan merealisasikannya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

793
Kongsi :
Previous post ‘Muka sama’ Kabinet, langkah tepat pulih ekonomi – Sulaiman
Next post Ibu sering terbayang wajah dua arwah anak
Ubah saiz-+=