‘Muka sama’ Kabinet, langkah tepat pulih ekonomi – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Pembentukan barisan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam disifatkan sebagai langkah tepat bagi meneruskan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, meskipun senarai Kabinet berkenaan tidak banyak berubah daripada sebelum ini, namun beliau yakin pengalaman luas setiap ahli Kabinet mampu membangunkan negara di bawah semangat ‘Keluarga Malaysia’.

“Sesungguhnya, tindakan YAB Perdana Menteri mengekalkan sebahagian besar Ahli Jemaah Menteri Persekutuan dalam Kabinet Persekutuan yang baharu ini tepat bagi memastikan kelancaran dan kesinambungan segala perancangan serta inisiatif dilaksanakan.

“Ia sekali gus dapat menyelesaikan cabaran pandemik COVID- 19, memulihkan ekonomi, mengekalkan kestabilan, menjamin kelangsungan hidup rakyat selain mengembalikan keyakinan pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Program Vaksinasi dan Trauma Penjaja, Peniaga dan Penyewa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di perkarangan Melaka Mall, di sini, hari ini.

SULAIMAN turut menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada peserta Program Vaksinasi dan Trauma Penjaja, Peniaga dan Penyewa MPHTJ di perkarangan Melaka Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, rakyat di negara ini khususnya di Melaka perlu memberi sokongan kepada barisan Ahli Jemaah Menteri yang dilantik demi kesejahteraan negara.

“Saya yakin dalam tempoh yang sukar ini menteri yang dilantik tidak dapat melaksanakan tugas secara berseorangan tanpa sokongan semua pihak, jadi dengan terbentuknya Kabinet ini, diharap ianya dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Tidak ada parti yang diberikan mandat untuk membentuk kerajaan sebaliknya kita berkongsi kuasa, rakyat pun faham, semua parti perlu faham.

“Kita tidak akan dapat semua apa yang kita mahu jadi kita perlu hormati sebagaimana diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

826
Kongsi :
Previous post Pasar Segar Terkawal di Melaka kutip jualan RM20,000
Next post “Saya terkilan dari sudut…” – Pak Wan
Ubah saiz-+=