6,547 berarak sempena Maulidur Rasul di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

DUYONG 28 September – Seramai 6,547 peserta terlibat pada perarakan sempena Maulidur Rasul 1445 Hijriah Peringkat Negeri Melaka.

Perarakan bermula dari Stadium Tun Fatimah ke Dataran Pusat Islam Melaka itu membabitkan seramai 128 kontinjen terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan termasuk swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, perarakan itu turut disertai Japerun, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, masjid dan surau serta sekolah-sekolah.

Katanya, sokongan dan penyertaan yang berterusan daripada rakyat Negeri Melaka membuktikan bahawa komitmen dan kesatuan hati umat Islam di bumi Hang Tuah benar-benar menjurus kepada kecintaan terhadap Baginda Rasulullah SAW sebagai utusan Allah pembawa rahmat kepada seluruh umatnya.

“Penganjuran sambutan Maulidur Rasul merupakan salah satu majlis rasmi di peringkat Kerajaan Negeri sebagai usaha dalam meningkatkan syiar Islam dan menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.

“Dalam kita mengimarahkan hari dan bulan kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, marilah kita bersama-sama menghayati dan memahami tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, iaitu “Perpaduan Teras Malaysia MADANI”.

“Konsepnya adalah berteraskan kepada perpaduan yang menjadi tunjang kepada masyarakat MADANI, yang maju bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1445H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023M, di Stadium Tun Fatimah, di sini, hari ini.

Perhimpunan dan perarakan itu turut disertai Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan lain-lain kenamaan.

IMG_20230928_120335_358
ANTARA peserta perarakan Maulidur Rasul. Foto: Orang Awam

Menurut Rahmad, sempena Maulidur Rasul tahun ini, pelbagai program berunsur kerohanian telah dirangka Kerajaan Negeri.

Antaranya, penganjuran Karnival Semarak Cinta Rasul yang akan berlangsung selama empat hari bermula pada 28 September 2023 sehingga 1 Oktober 2023 bertempat di Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah.

Kata beliau, pelbagai aktiviti telah pun disusun dan dirancang sepanjang karnival berlangsung, antaranya ialah program keilmuan seperti ceramah agama perdana, forum perdana, diskusi, daurah kitab, bicara agama, seminar Muslimah dan banyak lagi.

“Selain itu, program berbentuk pertandingan turut dianjurkan seperti pertandingan qasidah, pertandingan dapur panas bersama mualaf Melaka, pertandingan robotik sekolah-sekolah, ihtifal cinta rasul, dan pertandingan seni khat.

“Turut dianjurkan program kerohanian seperti rehlah marhaban, iaitu program klobarasi bersama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka, Malam Semarak Cinta Rasul iaitu alunan gema selawat dan qasidah serta Malam Semarak Dakwah yang menampilkan artis-artis nasyid tanah air yang mengalunkan lagu-lagu kerohanian dan ketuhanan,” katanya.

Rahmad memaklumkan, pengisian pelbagai program berskala besar pada tahun ini juga adalah persiapan menghadapi sambutan Maulidur Rasul Tahun 2024 bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

19701
Kongsi :
Previous post Lambaian Masjid Putih
Next post SPRM berazam kurangkan ketirisan, kembalikan aset dan dana negara – Azam Baki
Ubah saiz-+=