67 peratus kes tamat perkhidmatan diselesaikan secara rundingan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) berjaya mengendalikan sebanyak 67 peratus kes reperesentasi pemulihan kerja melibatkan kes penamatan perkhidmatan secara rundingan setakat Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata, peratusan tersebut mewakili 2,182 kes telah berjaya diselesaikan daripada 3,260 kes dikendalikan jabatan secara keseluruhan.

Katanya, daripada jumlah penyelesaian tersebut, sebanyak 57 peratus (1,249 kes) telah berjaya diselesaikan melalui rundingan damai dengan nilai pampasan atau ex-gratia sebanyak RM24.9 juta.

“Berdasarkan tempoh tiga tahun dari 2021 sehingga 2023, JPPM telah berjaya menyelesaikan kes melalui bayaran pampasan sebanyak RM90.4 juta kepada 3,689 orang pekerja.

“Kesemua kes-kes reperesentasi pemulihan kerja yang melibatkan kes penamatan perkhidmatan secara rundingan dikendalikan di bawah seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan Tahun 2023, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, melibatkan kes yang sama untuk tempoh dari 2021 hingga 2023, JPPM Zon Selatan telah berjaya menyelesaikan kes menerusi pampasan atau ex-gratia sebanyak RM13.5 juta.

“Di Zon Selatan, mengikut pecahan tiga negeri, di Melaka, JPPM telah menyelesaikan kes menerusi pampasan sebanyak RM1.76 juta; Johor (RM10.4 juta) dan Negeri Sembilan (RM1.32 juta).

“Kesemua nilai ex-gratia melibatkan seramai 1,505 pekerja di bahagian Zon Selatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1182
Kongsi :
Previous post Tinggal kasut di kaki lima sebelum ditemui terlungkup atas jalan
Next post Aktifkan Kelab Pengguna Sekolah di Melaka dengan program kesedaran
Ubah saiz-+=