Aktifkan Kelab Pengguna Sekolah di Melaka dengan program kesedaran

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Melaka menggalakkan Kelab Pengguna Sekolah (KPS) mengaktifkan kembali kelab berkenaan dengan program kepenggunaan terutama membabitkan kesedaran awam.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pihaknya mempunyai peruntukan bagi menjalankan program kepenggunaan di sekolah dan mengalu-alukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sekolah bekerjasama dalam melaksanakan program seumpama itu.

Katanya, meskipun KPS diwujudkan sejak tahun 1992 namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti kelab itu dilihat agak suram dan ada yang tidak aktif.

“Justeru, kita mengalu-alukan pihak JPN mahupun KPS berhubung dengan KPDN negeri bagi mengaktifkan kembali kelab itu dengan program kepenggunaan di sekolah, lebih-lebih lagi berkaitan kesedaran pengguna dalam kalangan pelajar.

“Para pelajar zaman sekarang mungkin ada yang tidak menyedari hak mereka sebagai pengguna, jadi mereka perlu tahu hak mereka,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menghadiri program penutup Pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) peringkat Negeri Melaka.

photo_2023-07-20_15-04-39
NORENA

Terdahulu, program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Tuminah Kadi @ Hasim dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Jamsari Mariman.

Sementara itu, Jamsari berkata bagi pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihaknya menyambut bagi kerjasama daripada jabatan mahupun agensi termasuk KPDN negeri yang mahu menggalakkan kemenjadian murid dan pelajar di Melaka.

“Ia berikutan ko-kurikulum juga adalah perkara wajib sama seperti kurikulum juga, yang mana 10 peratus markah diambil melalui aktiviti ko-kurikulum bagi melayakkan mereka ini memasuki institut pengajian tinggi (IPT).

“Bagi membantu meningkatkan kemenjadian pelajar ini, JPN memerlukan komitmen daripada semua pihak untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan,” katanya.

photo_2023-07-20_15-04-39 (2)
JAMSARI

Dalam program itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Perak, Jasin muncul johan CIP KPS Melaka manakala naib johan dimenangi SMK Iskandar Shah, Jasin dan tempat ketiga dirangkul oleh SMK Tinggi St David, Bukit Baru.

Untuk rekod, sebanyak 37 sekolah menengah di Melaka menyertai program CIP KPS yang dilaksanakan hasil kerjasama KPDN dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 2011 bagi menggantikan Kuiz Pengguna Sekolah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4172
Kongsi :
Previous post 67 peratus kes tamat perkhidmatan diselesaikan secara rundingan
Next post SMKA Tun Perak mahu harumkan nama Melaka di Miri
Ubah saiz-+=