74 peratus rakyat Melaka sudah daftar vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SERI NEGERI 29 Jun – Seramai 74 peratus atau 488,400 orang daripada 660,000 rakyat Melaka berumur 18 tahun ke atas yang layak menerima vaksin sudah mendaftar vaksin menerusi MySejahtera setakat minggu terakhir Jun 2021.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding di peringkat awal yang menyaksikan orang ramai kini tidak lagi takut dengan pelbagai dakyah negatif mengenai keburukan vaksin.

Peningkatan itu, jelasnya, turut disumbangkan dengan pelbagai inisiatif yang digerakkan agensi dan jabatan kerajaan negeri, termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) serta orang perseorangan yang membantu menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat.

“Ia satu perkembangan yang baik dalam usaha kita mencapai sasaran 70 peratus rakyat menerima vaksin dan seterusnya mencapai imuniti berkelompok.

“Sekiranya semua ini mampu dicapai, insya-Allah kita berjaya keluar daripada kemelut pandemik dan seterusnya kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, setakat 24 Jun, seramai 101,000 rakyat telah menerima vaksin dos pertama yang mana beliau menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat saban hari.

“Dengan kekuatan 41 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk PPV awam, Special PPV (SPPV) di hospital dan PPV General Practitioner (PPVGP) di klinik-klinik swasta seluruh negeri, kini kita menjangkakan seramai 7,800 rakyat bakal disuntik setiap hari,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1001
Kongsi :
Previous post Pakej rangsangan ekonomi Melaka antara tertinggi dalam negara
Next post Bank tidak kenakan faedah terkompaun, caj lewat bayar moratorium
Ubah saiz-+=