75 peratus peniaga, penjaja sudah divaksin – Zaleha
AYER KEROH 17 Sept. – Kira-kira 75 peratus peniaga serta penjaja kecil di negeri ini telah lengkap divaksinasi sekali gus memudahkan urusan perniagaan di premis mereka.
Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Melayu Negeri Melaka, Datuk Zaleha Bujang berkata, sebanyak 25 peratus peniaga yang masih belum divaksin itu dijangka selesai pada Oktober depan.
“Peniaga dan penjaja di Melaka yang berdaftar ada 5,000 orang, ramai antara mereka ini telah pun lengkap vaksin.
“Biarpun belum 90 peratus peniaga lengkap vaksin sebab ada yang berniaga dan tidak sempat keluar ambil vaksin, saya anggarkan dalam 75 peratus peniaga telah lengkap vaksin,” katanya ketika dihubungi MHI.
Zaleha berkata, bagaimanapun setakat ini tiada isu peniaga mahupun penjaja mengelak untuk diberikan suntikan vaksin.
“Kebanyakan mereka tengah menunggu nama mereka dipanggil, setakat ini mereka tidak mengelak untuk divaksin semua menunggu giliran masing-masing.
“Kita akan pastikan semua peniaga atau penjaja lengkap vaksin sebelum Negeri Melaka dibenarkan merentas sempadan,” katanya lagi.
Terdahulu, MHI melaporkan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada peniaga dan penjaja di negeri ini yang enggan menerima vaksin.
Exco Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, antara tindakan yang diambil termasuklah menutup operasi perniagaan serta membatalkan lesen perniagaan peniaga terlibat.
Katanya, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengelakkan penularan jangkitan yang lebih serius membabitkan aktiviti perniagaan di negeri ini terutama apabila pintu sempadan negeri dibuka nanti.
“Nasihat telah diberi, amaran juga telah diberi. Tapi kalau di luar sana masih tidak mahu vaksin, saya sendiri akan mengambil tindakan tegas dan menutup perniagaan mereka.
“Kalau enggan divaksin, jangan berniaga, kita tak benarkan kerana kita tak mahu disebabkan seorang peniaga ia melibatkan orang lain pula nanti.
“Kalau masih banyak alasan juga, saya sebagai Exco berkenaan akan membatalkan lesen perniagaan mereka,” tegasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.