PGA7 rampas tujuh ekor rusa disyaki diseludup dari Thailand
PASIR MAS 17 Sept – Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas tujuh rusa bernilai RM35,000 yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran di Kampung Siram, di sini, malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, terdahulu kegiatan itu disedari pada kira-kira 10 malam oleh sepasukan anggotanya yang melakukan rondaan berhampiran kawasan Jeram Perdah, di sini selepas ternampak sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata pasukan PGA7 bertindak mengekori kenderaan tersebut dan mengarahkan kedua-dua pemandu berusia 34 dan 41 tahun memberhentikan kenderaan masing-masing di tepi jalan pada kira-kira 12.30 tengah malam.
“Pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan kemudian menemukan tiga kotak kayu besar berisi tujuh ekor rusa yang masih hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azhari, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua pemandu itu memiliki surat kebenaran memindah ternakan/haiwan dalam Semenanjung Malaysia, namun telah tamat tempoh dan mencurigakan.
Katanya susulan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jeram Perdah untuk kes disiasat lanjut oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.
“Nilai keseluruhan rampasan melibatkan dua kenderaan dan tujuh ekor rusa itu dianggarkan sebanyak RM85,000. Seekor rusa dianggarkan bernilai RM5,000 dan kemungkinan haiwan itu diseludup masuk bagi tujuan peliharaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.