8 lokasi pelancongan Melaka jana lebih RM3.36 juta – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH – Lapan lokasi pelancongan utama Melaka berjaya merekodkan nilai kutipan tiket berjumlah lebih RM3.36 juta sejak sektor pelancongan dibuka pada 1 Okt lalu.

Exco Pelancongan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, antara lokasi pelancongan paling popular ialah Zoo Melaka, Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, AFamosa Water Theme Park dan AFamosa Safari Wonderland.

Selain itu, katanya tiga buah muzium iaitu Muzium Samudera, Muzium Kapal Selam dan Muzium Sejarah & Ethnografi turut mencatat kutipan tiket memberangsangkan setakat data 28 Okt lalu.

“Berdasarkan tinjauan tersebut, jumlah kedatangan pelancong dan jumlah kutipan tiket di lapan buah produk pelancongan yang paling popular tersebut bermula pada 1 Oktober 2021 hingga 28 Oktober 2021 direkodkan sejumlah 135,573 orang.

“Ia membabitkan dengan jumlah kutipan tiket sebanyak RM3,366,612.15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain lokasi pelancongan, tinjauan di premis-premis penginapan pelancong juga mendapati kadar penginapan (OCC) telah meningkat.

“Peningkatan sebanyak 71 peratus telah direkodkan berbanding 10 peratus pada awal pembukaan Fasa 4.

“Daripada jumlah tersebut, dianggarkan seramai 158,365 orang telah melawat Melaka bermula pada 1 Oktober hingga 28 Oktober lalu,” katanya.

Justeru, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang telah membenarkan pergerakan rentas negeri bermula 11 Okt lalu.

Beliau turut berharap, sasaran satu juta pelancong yang ditetapkan sebelum ini berjaya dicapai sebelum tahun ini berakhir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

656
Kongsi :
Previous post Cuti ganti ‘frontliner’ dinaikkan ke 160 hari
Next post Bajet 2022: JaminKerja sedia 600,000 peluang pekerjaan
Ubah saiz-+=