80,000 berselawat di Stadium Hang Jebat

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PAYA RUMPUT 31 Disember – Lebih 80,000 umat Islam Negeri Melaka membanjiri Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi, bagi memeriahkan Malam Bandaraya Melaka Berselawat.

Program anjuran Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pertubuhan Rizq Melaka merupakan sebahagian acara diadakan bersempena Karnival Islamik Antarabangsa Melaka 2023 (KIAM’23).

Ia juga merupakan sebahagian pengisian kerohanian menjelang ketibaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Program tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Program itu bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan disusuli selawat serta qasidah.

Turut diadakan ceramah khas yang disampaikan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf bersama Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid, Sheikh Mohamed Abdul Aziz Mahmoud Ghonim Al-Azhari dan Ustaz Muhammad Hatta Syamsul Ariffin Abdul Rahim.

Majlis diakhiri dengan Ma’al Qiyam (selawat ke atas Rasulullah SAW) dan bacaan doa penutup iaitu doa kesejahteraan Bandaraya Melaka, doa akhir tahun dan doa TMM2024 yang dipimpin Abdul Halim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3844
Kongsi :
Previous post Kerani mangsa penipuan pelaburan rugi RM240,000
Next post Konsert Manifestasi Kompang lepas Aidilfitri – JKKN
Ubah saiz-+=