85.1 peratus lengkap divaksin, rentas negeri semakin hampir

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) merekodkan kadar 85.1 peratus populasi dewasa lengkap divaksin setakat semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia terus merekodkan trend menurun bagi kadar kebolehjangkitan (R-naught) di seluruh negara dengan nilai 0.88.

Menurutnya, selain itu kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan trend penurunan.

“Berdasarkan R-naught yang masih kekal di bawah nilai 1.0, kerajaan yakin unjuran harian kes baharu jangkitan COVID-19 akan terus mencatatkan trend penurunan dengan kerjasama Keluarga Malaysia mematuhi SOP meskipun jumlah kes jangkitan harian COVID-19 menunjukkan ketidaktentuan.

“Setakat semalam PICK merekodkan kadar 85.1 peratus populasi dewasa lengkap divaksin dan perkembangan ini selari dengan matlamat kerajaan yang mahu seramai mungkin pelajar menerima vaksinasi lengkap menjelang pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat bermula Oktober depan.

“Seperti yang telah saya umumkan pada 22 September, kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, jelas perdana menteri, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) juga mendapat sambutan menggalakkan, apabila mencatatkan sebanyak 1,217,386 dos vaksin telah diberikan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang
ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post Pembantu peribadi Nicky Liow didakwa ubah wang haram, kemuka cukai pendapatan tidak tepat
Next post Pengusaha inap desa sedia terima tempahan
Ubah saiz-+=