85 rakyat Malaysia di Sri Lanka selamat – Saifuddin

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUANTAN, 11 Julai – Seramai 85 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka dilaporkan selamat walaupun berlaku ketegangan di negara itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kementeriannya bersedia untuk memindahkan rakyat Malaysia di situ jika keadaan bertambah buruk, dengan perkembangan semasa situasi di negara itu dipantau rapat buat masa ini.

“Kita menjangkakan keadaan di Sri Lanka akan kembali reda dalam beberapa hari ini setelah Presiden dan Perdana Menteri negara itu menyerahkan kuasa kepada Speaker Dewan.

“Buat masa ini, kita menasihatkan rakyat Malaysia di sana supaya tidak keluar rumah dan segera menghubungi pihak kedutaan Malaysia jika terdapat keperluan terutamanya dari segi bekalan makanan,” katanya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Korban Aidiladha Parlimen Indera Mahkota di Masjid Sungai Karang Darat di sini hari ini, yang melibatkan agihan 43 ekor lembu kepada kawasan sekitar parlimen itu.

Selain itu, beliau juga meminta mereka yang gagal menghubungi saudara mara di Sri Lanka agar segera memaklumkan kedutaan Malaysia di Colombo supaya mereka dapat dikesan.

“Kita tidak menjangka sesuatu yang buruk berlaku terhadap mereka, cuma apa yang dibimbangi kemungkinan berlaku komunikasi terputus di sana,” katanya.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan pergolakan di Sri Lanka berlaku akibat krisis kewangan paling teruk dengan negara itu gagal membayar balik hutang luar berjumlah US$51 bilion (RM226 bilion) dan kini mengadakan rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi mendapatkan bantuan.

Presiden Gotabaya Rajapaksa dan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe telah mengumumkan peletakan jawatan mereka selepas penunjuk perasaan yang marah menyerbu kediaman presiden pada hari Sabtu dan membakar rumah perdana menteri.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

671
Kongsi :
Previous post MATA cadang agensi menipu jemaah haji dikenakan hukuman penjara
Next post Pelbagai aktiviti sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022
Ubah saiz-+=