Pelbagai aktiviti sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Bersempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022 hari ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta kerjasama Pusat Pengajian Kependudukan Universiti Malaya dan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) akan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memberi kesedaran mengenai isu kependudukan di Malaysia.

Menurut KPWKM dalam kenyataan hari ini, antara aktiviti tersebut ialah pertandingan menulis esei dan forum Hari Penduduk Sedunia dengan tema ‘Dunia 8 Bilion: Ke Arah Masa Depan Berdaya Tahan, Memanfaatkan Peluang dan Memastikan Hak dan Pilihan untuk Semua’.

Katanya, LPPKN turut menganjurkan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2022 yang akan berlangsung secara fizikal di Hotel Bangi Resort pada 10 dan 11 Nov bertemakan ‘Pemerkasaan Penduduk dan Keluarga Teras Negara Maju’.

“KPWKM dengan kerjasama UNFPA sependapat bahawa sambutan Hari Penduduk ini wajar diberi perhatian dan dijadikan platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu dan cabaran kependudukan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan penduduk dunia dijangka mencecah lapan bilion pada November ini dan pencapaian itu adalah detik bersejarah dengan dunia pada hari ini telah berjaya dalam mengurangkan jumlah kemiskinan dan mencapai kemajuan luar biasa dalam penjagaan kesihatan.

Katanya, kadar mortaliti ibu dan bayi di Malaysia telah menurun dengan mendadak manakala kadar jangka hayat penduduk pula meningkat dengan lebih ramai yang hidup lebih lama dan lebih sihat.

Malaysia juga mempunyai 32.7 juta penduduk pada 2021, meningkat berbanding 27.5 juta pada 2010, bagaimanapun negara mencatatkan purata pertumbuhan penduduk tahunan yang perlahan pada kadar 1.7 peratus bagi tempoh 2010-2020 iaitu lebih rendah berbanding 2.1 peratus bagi tempoh 2000-2010.

“Dengan jumlah penduduk negara dan dunia yang kian bertambah, Malaysia komited melaksanakan tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan kesejahteraan penduduk lebih-lebih lagi dengan pelbagai perubahan dan cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19,” katanya.

Menurutnya, kerajaan yakin dengan pelbagai pakej pemulihan negara dan langkah-langkah perlu yang dilaksanakan pelbagai agensi akan membantu negara menguruskan kesan perubahan iklim, perubahan kos sara hidup, sekuriti makanan dan lain-lain.

Selain itu, Malaysia juga dijangka menjadi sebuah negara tua pada 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduknya berumur 60 tahun dan ke atas.

Katanya, pelaburan ke atas pasaran tenaga buruh pada hari ini akan menjamin pertumbuhan ekonomi negara pada masa akan datang apabila semua individu memiliki kebebasan kewangan di usia persaraan.

“Jika sebaliknya, peningkatan populasi warga emas ini akan menjadi faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos perbelanjaan awam dalam menyediakan infrastruktur dan sokongan penjagaan kesihatan,” katanya.

Malaysia juga komited memperkukuh kerangka undang-undang berkaitan warga emas melalui penggubalan Rang Undang-Undang Warga Emas selain mengiktiraf peranan yang dimainkan semua golongan masyarakat dalam menjaga keperluan dan kesejahteraan warga emas.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2043
Kongsi :
Previous post 85 rakyat Malaysia di Sri Lanka selamat – Saifuddin
Next post Masjid al-Ehsan korban 23 lembu, lima kambing
Ubah saiz-+=