9.1 juta pelanggan TNB nikmati diskaun bil elektrik di bawah PEMULIH

0
96
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR 1 Julai – Seramai 9.1 juta pelanggan domestik dan bukan domestik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Semenanjung Malaysia akan mendapat manfaat diskaun secara bersasar di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Menerusi kenyataan hari ini, TNB memaklumkan pemberian diskaun antara lima hingga 40 peratus akan dinikmati 7.4 juta pengguna domestik.

Selain itu, diskaun 5 peratus kepada pengguna elektrik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian spesifik di bawah voltan rendah akan memberi manfaat kepada 1.6 juta pelanggan syarikat utiliti itu.

“Diskaun sebanyak 10 peratus kepada pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih di bawah inisiatif PEMERKASA Plus pula melibatkan 11,800 pengguna. Di bawah Pakej PEMULIH, kesemua enam sektor ini akan terus menerima 10 peratus diskaun sehingga 31 Dis ini, seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” menurut kenyataan itu.

Enam sektor terlibat ialah pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

TNB turut menyatakan pengguna elektrik di Semenanjung akan terus menikmati rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) 2 sen per Kilowatt jam (kWj) dari Julai hingga Disember ini.

Menurut TNB bagi kedua-dua kategori pelanggan domestik dan PKS, pengiraan Diskaun Bil Elektrik PEMULIH adalah berdasarkan jumlah penggunaan bulanan dari 1 Julai hingga 30 Sept 2021.

“TNB sedang mengambil langkah yang perlu bagi memastikan pelaksanaan diskaun ini berjalan dengan lancar. Oleh itu, pelanggan akan melihat diskaun ini tertera dalam bil elektrik bertarikh 15 Julai 2021.

“Bagi pelanggan yang menerima bil bertarikh antara 1 hingga 14 Julai ini, diskaun bulan Julai 2021 akan dimasukkan ke dalam bil bulan Ogos 2021,” katanya.

Syarikat itu memaklumkan pelanggan yang menerima bil sepanjang Julai ini akan menikmati diskaun mengikut bilangan hari penggunaan dalam bulan itu dengan diskaun diberikan selepas mengambil kira rebat ICPT .

Katanya diskaun akan mula dinikmati sepenuhnya dalam bil Ogos dan September 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.