90 peratus ahli Parlimen selesai diberi suntikan vaksin – Mohamad Ali

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 29 Jun – Hampir 90 peratus ahli Parlimen sudah selesai diberikan suntikan vaksin COVID-19 sebagai persediaan persidangan Parlimen yang akan dibuka sama ada secara hibrid ataupun biasa.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, setakat ini hanya 10 peratus ahli Parlimen yang masih belum divaksin dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

SENATOR Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. Foto fail.

“Semua yang terlibat untuk bersidang diwajibkan mempunyai suntikan vaksin, kita jangka 1 Ogos Parlimen bersidang tapi kalau boleh biarlah dipercepatkan sebelum tarikh itu.

“Dalam masa terdekat, pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah bersetuju untuk memberi vaksin kepada pegawai-pegawai ahli Parlimen serta kakitangan di pejabat parlimen yang menghadiri persidangan.

“Kita jangkakan seramai 5,000 pegawai dan kakitangan ini yang akan terlibat bagi mendapatkan vaksin COVID-19 sebelum Parlimen bersidang,” katanya ketika dihubungi MHI.

Terdahulu portal Utusan Malaysia melaporkan Parlimen akan kembali dibuka untuk bersidang sama ada secara hibrid atau biasa selepas Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat termasuk semua tiga timbalannya menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Hal itu dimaklumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang memberitahu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah menerima nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menitahkan supaya Parlimen kembali bersidang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post Melaka boleh capai peralihan fasa – Rahmad
Next post Dituduh palsukan surat pengesahan darjah kebesaran Melaka
Ubah saiz-+=