Dituduh palsukan surat pengesahan darjah kebesaran Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 29 Jun – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan surat pengesahan penerimaan darjah kebesaran Melaka pada akhir Mac lalu.

Tertuduh, Mohamed Fariq Abdul Rahman, 46, dan Abdullah Samsu @ Hanafi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dihadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan Mohamed Faiq dan Abdullah didakwa bersama-sama memalsukan dokumen surat bertajuk ‘Pengesahan Mengenai Status Surat Penerimaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Ulang Tahun Ke 71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam bertarikh 24 Mac 2021 dan ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan.

Kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat menggunakan dokumen itu bagi tujuan menipu dan kesalahan itu dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Kerajaan Negeri pada 31 Mac lalu, kira-kira 12 tengah hari.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh dan Mohd Norazihan Adnan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin setiap seorang.

Sebutan semula kes ditetapkan 25 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2122
Kongsi :
Previous post 90 peratus ahli Parlimen selesai diberi suntikan vaksin – Mohamad Ali
Next post PPV Encore Melaka bakal tampung 1,000 dos suntikan setiap hari
Ubah saiz-+=