Sorting by

×

JENAYAH INDEKS MELAKA MENURUN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 22 April – Statistik jenayah indeks Negeri Melaka bagi tiga bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 4.85 peratus atau 412 kes berbanding  433 kes direkodkan sepanjang tempoh sama 2024.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perkembangan positif itu turut membantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk berada pada kedudukan kesembilan terbaik seluruh negara.

“Ada penurunan sebanyak 21 kes dan laporan tertinggi kami terima adalah melibatkan jenayah harta benda dengan 330 laporan, sementara itu bakinya sebanyak 82 kes lagi adalah jenayah kekerasan.

“Penurunan paling tinggi pula melibatkan laporan kecurian dengan 34 kes, diikuti rogol sebanyak 10 kes dan penurunan lima kes pula bagi jenayah samun berkawan tanpa senjata api,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat Dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka di IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Dzulkhairi berkata, sepanjang tempoh sama IPK Melaka berjaya menyelesaikan sebanyak 234 kes atau bersamaan 56.80 peratus daripada keseluruhan 412 laporan yang diterima pihaknya.

“Jenayah kekerasan atau kes rogol mencatatkan penyelesaian tertinggi dengan 11 kes, ini adalah bersamaan kejayaan 100 peratus, sementara itu mendatangkan kecederaan pula merekodkan penyelesaian sebanyak 40 kes.

“Kami di IPK Melaka amat komited dalam memastikan keselamatan dan keharmonian negeri dikekalkan, sehubungan itu kami juga meminta agar orang ramai memberikan kerjasama terutama dalam bentuk penyaluran maklumat berhubung aktiviti jenayah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1199
Kongsi :
Previous post SPNB DIMINTA TERUSKAN PROJEK RMR 2.0
Next post POLIS TAHAN WANITA CURI BEG DALAM PEJABAT PASUKAN BOMBA SUKARELA