
WRUR DUN SUNGAI UDANG TAMPIL KELAINAN
SERI NEGERI 30 April – Pengisian program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dari 18 hingga 31 Mei depan disusun agar lebih dekat dengan penduduk tempatan.
Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, ini kerana pengisian program yang akan berlangsung selama 14 hari itu antaranya adalah berdasarkan hasil maklum balas dan cadangan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sendiri.
“Antara pembaharuan kita mahu bawa pada penganjuran WRUR DUN Sungai Udang nanti adalah setiap JPKK dan kampung akan menganjurkan program yang melibatkan komuniti masing-masing.
“Ini kerana komuniti dan pendekatan geopolitik bagi setiap DUN adalah berbeza-beza, selain itu kita mendapat input yang tuntas daripada pihak JPKK kerana mereka ini yang sentiasa berada di lapangan bersama rakyat,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput itu berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Bilik Tun Mutahir, di sini, semalam.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, berkata beberapa siri mesyuarat juga sudah diadakan bagi melancarkan persiapan WRUR DUN Sungai Udang.
“Aduan yang diterima kita akan perhalusi termasuklah perkara yang membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Daripada segi pengisian program, saya tidak mahu terlalu banyak dan tiada penglibatan komuniti setempat., matlamat kita adalah aktiviti disusun sampai kepada rakyat dan memberikan impak.
“Contoh penganjuran ziarah kasih, kita susun agar ia memberikan kesan mendalam kepada individu yang disantuni. Kita mahu golongan kurang bernasib baik ini berasa komuniti masih mengambil berat terhadap kesulitan yang mereka lalui,” katanya.
Jelasnya, bersempena WRUR, DUN Sungai Udang terpilih menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari Tibi Peringkat Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.