Sorting by

×

MELAKA DESTINASI PELANCONGAN SUKAN ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 30 April – Penganjuran Kejohanan Tenis Antarabangsa Asian Tennis Federation (ATF) Bawah 14 Tahun di Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), di sini, membuktikan Melaka terus menjadi destinasi pilihan pelancongan sukan bertaraf dunia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa itu bukan sekadar mengasah bakat muda tetapi turut mempromosikan Melaka di mata dunia.

“Kejohanan ini menghimpunkan pemain-pemain muda bertaraf antarabangsa dari serata dunia seperti Hong Kong, Filipina, Korea, Australia, Indonesia, Sri Lanka, Singapura, Jepun, Poland, India, Great Britain, China, Uzbekistan dan Amerika Syarikat.

“Kejohanan ini membuka peluang untuk Melaka dipromosikan sebagai destinasi pelancongan sukan yang mampu menarik lebih ramai pelancong dan pelabur ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Tenis Antarabangsa ATF Bawah 14 Tahun, pada Isnin.

Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Zailani Siran.

Ujarnya, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa komited untuk terus memberikan sokongan terhadap sebarang penganjuran sukan bertaraf antarabangsa bagi memberi peluang buat atlet tempatan bersaing secara kompetitif.

“KBS sentiasa bersedia untuk menyokong penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa seperti ini dalam membina ekosistem sukan yang lebih dinamik dan inklusif.

“Pendedahan sebegini amat penting memandangkan pertandingan ini amat penting bagi melahirkan atlet yang berdaya saing di peringkat dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Lawn Tennis Melaka (MLTA) Muhammad Shahrul Hafidz Abd Rahim menyatakan penghargaan kepada KBS kerana meluluskan Geran Padanan Sukan yang menjadi faktor pendorong kepada penganjuran kejohanan itu.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KBS kerana telah meluluskan Geran Padanan Sukan yang membiayai 50 peratus kos kejohanan ini.

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka yang telah meluluskan acara ini sebagai acara berstatus antarabangsa dalam Sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),” katanya.

Kejohanan yang berlangsung hingga 3 Mei itu melibatkan penyertaan 90 pemain antarabangsa termasuk 20 wakil Malaysia.

Langgani Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1117
Kongsi :
Previous post WRUR DUN SUNGAI UDANG TAMPIL KELAINAN
Next post PREMIS GAGAL URUS SISA, 20 NOTIS KESALAHAN DIKELUARKAN