
TAHAP KESEDARAN PEMATUHAN KONTRAKTOR DI MELAKA MENINGKAT – CIDB
PENGKALAN BATU 6 Mei – Tahap kesedaran pematuhan kontraktor tempatan dan asing terhadap Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Melaka semakin meningkat.
Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan, CIDB Malaysia, Mohammad Farris Abdul Aziz berkata peningkatan itu dapat dilihat menerusi lima perkara yang diberi fokus utama oleh pihaknya.
Katanya, lima fokus tersebut membabitkan perakuan pendaftaran kontraktor; pendaftaran personel binaan; akreditasi pekerja mahir dan perakuan pematuhan standard (PPS).
“Saban tahun kita melihat di Melaka terdapat peningkatan pematuhan akta CIDB ini, satu perkembangan yang amat baik.
“Tahap kepatuhan mereka ini kita dapati amat memuaskan dan berada di tahap yang tinggi, setiap tahun ada peningkatan,” katanya pada sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) Bil 1/2025 di sebuah tapak binaan, di sini, hari ini.
Terdahulu, operasi bersepadu tersebut turut disertai enam agensi termasuk Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Jabatan kesihatan Negeri Melaka; Jabatan Tenaga Kerja (JTK); Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp); Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pada itu, Mohammad Farris berkata menerusi operasi terbabit seramai 107 pekerja asing pemegang kad hijau CIDB telah diperiksa.
“Hasil dapatan daripada operasi ini kita meneliti kepatuhan syarikat pembinaan sangat memuaskan dan mengikuti lima fokus utama CIDB.
“Kita turut mengenal pasti bahan binaan yang digunakan, dan pelbagai lagi segmen menepati kadar kepatuhan oleh pihak kontraktor,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.