Sorting by

×

KOLEJ KOMUNITI JASIN TARIK MINAT PELAJAR SERTAI TVET

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

JASIN 8 Mei – Hari Terbuka Kolej Komuniti Jasin (KKJS) berlangsung meriah apabila berjaya menarik minat pelajar-pelajar sekolah di seluruh Negeri Melaka.

Bertemakan ‘Jom Jelajah KKJS: Gerbang TVET Anda’, program yang diadakan 6 Mei lalu itu bertujuan menarik lebih ramai golongan muda khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Jasin.

Pengarah Kolej Komunti Jasin, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, sejurus sahaja keputusan SPM diumumkan pada 24 April lalu, pelbagai perancangan strategik giat dijalankan untuk menarik minat pelajar lepasan SPM untuk mendaftar dan melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tersebut.

“Sememangnya matlamat kami adalah untuk menarik minat pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran di sini dan program Hari Terbuka ini adalah merupakan salah satu perancangan yang menjadi daya tarikan pelajar untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pengajian dan kemudahan fasiliti yang ditawarkan di sini.

“Pihak kami juga sedang mengatur pelbagai program lain berskala besar bagi meningkatkan jumlah pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Jasin dan sekaligus menyebarluaskan lagi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam kalangan belia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Program Hari Terbuka Kolej Komuniti Jasin, Rosmaria Ismail berkata, penganjuran hari terbuka itu dapat memberi pendedahan dan pengalaman awal kepada para pelajar mengenai program TVET yang ditawarkan di kolej berkenaan.

“Pengambilan pelajar dalam kapasiti yang ramai adalah merupakan agenda utama Kolej Komuniti Jasin dan program Hari Terbuka menjadi satu platform untuk masyarakat luar terutamanya para pelajar untuk lebih dekat dengan penawaran pengajian dan kemudahan fasiliti yang disediakan di sini,” katanya.

Terdahulu, Hari Terbuka Kolej Komuniti Jasin itu memberi peluang kepada para pelajar untuk melawat kemudahan fasiliti yang terdapat di kolej berkenaan, antaranya bengkel, makmal, gudang dan studio.

Antara sekolah yang terlibat dalam program itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Ya’akub, SMK Dang Anum, SMK Sungai Rambai, SMK Seri Mahkota, SMK Tun Syed Zahiruddin dan SMK Tun Tijah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

472
Kongsi :
Previous post GUNA PELUANG WRUR SELESAI MASALAH – SULAIMAN 
Next post MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF