Sorting by

×

PENGERUSI WORLD ECONOMIC COUNCIL PUJI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 8 Mei – Pengerusi World Economic Council (WEC), Peter Nussbaum menyatakan keyakinan beliau terhadap potensi besar Negeri Melaka sebagai destinasi pelaburan strategik bagi syarikat-syarikat Jerman.

Keyakinan itu disuarakan Nussbaum, ketika melakukan Kunjung Hormat ke atas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam majlis berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Menurut Nassbaum lagi WEC turut berbangga dengan kemajuan yang dicapai Melaka dan Malaysia, khususnya dalam aspek pengurusan tenaga.

“Sekarang adalah masa yang tepat untuk mempertimbangkan Melaka sebagai lokasi pelaburan dan pembangunan. Melaka telah mencapai satu tahap penting dan daripada perspektif Jerman, ini merupakan peluang terbaik untuk memberi tumpuan kepada potensi negeri ini.

“Banyak maklum balas positif mengenai Melaka diterima daripada rakan-rakan strategik di Jerman dan mereka menyifatkan Melaka sebagai tempat yang sepatutnya dituju,” katanya.

Tambah beliau, WEC komited untuk mempromosikan Malaysia di Jerman dan memastikan komuniti perniagaan di sana didedahkan kepada peluang-peluang yang tersedia di negara ini.

“Kami mahu memainkan peranan sebagai rakan kongsi, memastikan Melaka tidak bersendirian kerana hubungan antara Melaka dan syarikat-syarikat Jerman telah wujud lebih 50 tahun,” katanya.

Mengulas mengenai konteks geopolitik semasa, beliau memaklumkan bahawa negara-negara seperti Austria dan Switzerland turut menunjukkan minat terhadap lokasi strategik di Melaka serta menyokong usaha kerjasama melalui WEC.

Selain itu Nassbaum turut memuji kepimpinan Ab Rauf yang berjaya meraih sokongan pelbagai negara dan pihak antarabangsa selain menyifatkan negeri ini berada di barisan hadapan dalam inisiatif pembangunan ekonomi serantau.

Sebagai langkah sokongan tambahan, Nussbaum memaklumkan bahawa MBSB Bank juga akan membantu daripada aspek pembiayaan bagi sebarang inisiatif pelaburan di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

576
Kongsi :
Previous post TIGA JAM KELUARKAN MAYAT TERSEPIT DALAM MESIN PEMBANCUH PASIR
Next post MELAKA SASAR 30 SYARIKAT JERMAN BERTAPAK DI GTP