Sorting by

×

TOURISM MELAKA MAHU ANGKAT KONDA KONDI KE PENTAS ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MERLIMAU 9 Mei – Tourism Melaka telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Permainan Konda Kondi bertempat di Politeknik Merlimau, Melaka, sebagai langkah awal untuk memperkasakan permainan tradisional itu ke peringkat lebih tinggi dan berdaya saing di persada antarabangsa.

Bengkel tersebut bertujuan membincangkan penetapan garis panduan dan syarat-syarat permainan konda kondi agar ia dapat diiktiraf sebagai sukan tradisional rasmi yang mempunyai satu format standard.
Tourism Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu secara tidak langsung menjadi platform penting dalam usaha memperkenalkan konda kondi kepada delegasi antarabangsa yang bakal hadir sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 yang akan berlangsung di Melaka pada September depan.

“Konda kondi, juga dikenali sebagai Perik Mata atau Kaunda Kaundi dalam komuniti India, adalah permainan tradisional rakyat Malaysia yang dimainkan menggunakan dua batang kayu, iaitu satu panjang dan satu pendek.

“Ia memerlukan kemahiran melambung dan memukul kayu, serta menguji ketangkasan dan strategi pemain dalam suasana santai dan berpasukan.

Popular di kampung-kampung dan kawasan bertanah lapang, permainan ini mencerminkan kekayaan budaya serta semangat komuniti masyarakat dahulu,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, bengkel tersebut telah dimulakan dengan ucaptama Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik), Politeknik Merlimau Ts. Zan Aizuwan Zainal Abidin dan seterusnya diikuti dengan ucapan penghargaan oleh Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad.

Penganjuran bengkel itu sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkasa warisan permainan rakyat sebagai satu produk pelancongan berimpak tinggi, di samping memelihara nilai budaya tempatan untuk generasi akan datang.

Tourism Melaka turut optimis konda kondi mampu menjadi simbol kebanggaan negeri yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memupuk semangat kesukanan dan kebersamaan merentasi sempadan budaya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

617
Kongsi :
Previous post BAYI DISYAKI DIDERA SUDAH SEDAR, SEMAKIN STABIL
Next post HFMD: MELAKA TINGKAT KAWALAN, MINTA IBU BAPA MAIN PERANAN