
KES HFMD DI TASKA MELAKA TERKAWAL
AYER KEROH 10 Mei – Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) membabitkan taska-taska di seluruh Melaka adalah terkawal, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.
Menurut beliau, buat masa ini, tiada taska-taska di negeri ini diarahkan tutup ekoran penularan penyakit berkenaan, meskipun kes HFMD di Melaka menunjukkan trend meningkat sejak akhir-akhir ini.
Jelas beliau, kawalan dapat dilakukan, susulan langkah pencegahan yang diambil setiap pengusaha taska di negeri ini yang tegas untuk tidak membenarkan kanak-kanak dijangkiti hadir ke pusat asuhan.
“Meskipun begitu, di peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka, kita akan sentiasa memeriksa dan dan membuat pengawasan ketat untuk mengelakkan kes terus merebak.
“Pada masa sama, JKM juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sekiranya terdapat kes yang dilaporkan membabitkan taska-taska di seluruh negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Plak Taska Berdaftar Negeri Melaka di Pejabat JKM Melaka Tengah di Wisma CMI, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Melaka Halyjah Muhamad; Pengerusi Persatuan Taska dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Negeri Melaka Kenneth William; Ketua Bahagian Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat Nurul Fatihah Jasli serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Kalsom turut meminta ibu bapa agar lebih cakna dan prihatin dengan tidak menghantar anak-anak mereka ke taska sekiranya mempunyai simptom-simptom penyakit berjangkit itu.
“Jika anak-anak dijangkiti, kita harap kesedaran itu ada pada ibu bapa untuk mengekang daripada penyakit ini terus merebak kepada anak-anak yang lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.