
MYKIOSK BUKAN PROJEK GAJAH PUTIH, 80 PERATUS TELAH BEROPERASI – MBMB
BANDA HILIR 10 Mei – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menafikan MyKiosk iaitu inisiatif kemudahan kios untuk peniaga di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjadi projek ‘gajah putih’ di negeri ini.
Sebaliknya, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman memaklumkan, kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 70 unit MyKiosk telah diserahkan kepada peniaga yang beroperasi di bawah kawasan pentadbirannya.
“Di Melaka projek MyKiosk di bawah KPKT ini tidak menjadi projek ‘gajah putih’ jika boleh dilihat di kawasan Duyong, hampir sepenuhnya MyKiosk di situ telah beroperasi.
“Manakala, di beberapa lokasi lain, projek MyKiosk yang telah diserahkan turut beroperasi dengan baik dan kebanyakan peniaga menjalankan perniagaan berasaskan makanan dan minuman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Majlis Perasmian Program Inisiatif Cashless MBMB bagi Tahun 2025 di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan; Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Shadan memaklumkan, berbaki 20 peratus lagi, MyKiosk berkenaan akan diserahkan dalam tempoh sebulan ini selepas selesai pemilihan peniaga yang telah membuat permohonan.
“Antara yang terbaharu kita akan buat penyerahan di Krubong, di mana kita sedang membuat pemilihan memandangkan terdapat ramai peniaga yang memohon, jadi kita mahu memilih yang benar-benar mahu berniaga sahaja,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.