Sorting by

×

LIHAT KEPERLUAN KEMUDAHAN PENDIDIKAN MASA HADAPAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

LENDU 19 Mei – Memperincikan kemudahan dan fasiliti pendidikan bagi tempoh lima ke 10 tahun akan datang agar seiring dengan keperluan semasa antara fokus sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pendidikan anak negeri adalah satu keutamaan, berikutan itu perancangan awal perlu bagi memastikan murid dan pelajar pada masa akan datang menimba ilmu dalam suasana kondusif.

Katanya, sebagai contoh Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Daun, bakal menerima tambahan murid pada tahun mendatang susulan cadangan pelaksanaan projek perumahan yang melibatkan lebih 400 unit kediaman baharu terletak kira-kira satu kilometer dari sekolah itu.

“Sekarang pembangunan itu dalam peringkat perancangan dan dijangka siap beberapa tahun lagi, SK Durian Daun pula sekolah paling hampir dengan projek berkenaan. Mengambil anggaran mudah jika separuh atau 200 kediaman ada anak-anak, SK Durian Daun akan menerima tambahan 200 orang murid baharu berbanding 180 orang murid semasa ketika ini.

“Jadi bersediakah pihak bersekolah, berikutan itu kita bersama dengan pihak berkenaan termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah mula memikirkan penyelesaian terbaik buat perkara ini. Lebih baik buat perancangan awal bagi mengelakkan masalah bilik darjah padat akibat kebajiran murid.

“Sebagai usaha mengatasi perkara itu kita sudah merangka pelan untuk menambah bangunan baharu atau alternatif yang bersesuaian. Apabila dimulakan lebih awal, insya-Allah kita dapat sediakan kemudahan secukupnya mengikut keperluan murid dan mengelakkan masalah berkaitan yang lain daripada berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Program Ziarah Kasih Guru Dan Murid DUN Lendu serta penyerahan sumbangan kek bersempena Sambutan Hari Guru di SK Durian Daun di sini, hari ini.

Program itu melibatkan persinggahan dan penyerahan sumbangan kek di 13 sekolah rendah dan menengah sekitar Dewan Undangan Negeri Lendu yang antaranya adalah SK Lendu; SK Datuk Tambychik Karim; SK Masjid Tanah, Sekolah Menengah Ghafar Baba dan Sekolah Menengah Sains Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post SURI RUMAH RUGI LEBIH RM150,000 DIPERDAYA SINDIKET TAWARAN KERJA TIDAK WUJUD
Next post TAMBAH BAIK KAEDAH BAYAR ZAKAT DALAM TALIAN GUNA TEKNOLOGI ‘AI’