Sorting by

×

WRUR: 19 KAMPUNG DI LENDU DAPAT ALAMAT BAHARU DILENGKAPI KOD QR

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

LENDU 20 Mei – Sebanyak 19 buah kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu telah ditransformasikan menjadi Kampung Digital.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, untuk permulaan, sebanyak dua buah kampung, iaitu Kampung Seri Tanjung dan Kampung Solok Air Batu telah ditampal dengan alamat baharu yang dilengkapi kod QR.

Jelas beliau, ia membabitkan sebanyak 210 buah rumah di Kampung Solok Air Batu dan 176 buah rumah di Kampung Seri Tanjung.

“Alhamdulillah, reaksi masyarakat di Lendu amat baik dan rata-ratanya gembira dengan alamat baharu yang lebih tersusun dan memudahkan sistem penyampaian, khususnya membabitkan urusan dengan agensi kerajaan dan penghantaran.

“Berbaki 17 buah kampung lagi, ia akan dijalankan secara berperingkat dengan penglibatan secara terus dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada sesi edaran pelekat alamat Kampung Digital DUN Lendu, hari ini.

Sesi edaran itu turut disertai Ketua Menteri Melaka Ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Ketua ICT Negeri Melaka Fauzi Elham@Alhim serta pemimpin setempat.

Menurut Fairul Nizam, penduduk kampung yang telah menerima alamat baharu diberikan tempoh masa secukupnya untuk membuat penukaran alamat pada kad pengenalan.

Malah, ujarnya, Kerajaan Negeri telah bersetuju menanggung subsidi 50 peratus penukaran kad pengenalan baharu, selain kini sedang perbincangan Jabatan Pendaftaran Negara untuk kelulusan subsidi 50 peratus lagi bagi membantu meringankan beban rakyat yang terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post MELAKA REKOD KUTIPAN ZAKAT HAMPIR RM60 JUTA SUKU KEDUA 2025
Next post PERKASA WAKAF PENDIDIKAN DI MELAKA