Sorting by

×

MELAKA ANGKAT CADANGAN LARANGAN VAPE

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

SUNGAI UDANG 24 Mei – Kertas cadangan larangan atau penghentian jualan rokok elektronik atau vape akan diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Beliau berkata, perkara itu diambil perhatian serius Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memandangkan terdapat banyak kes penyakit berkaitan paru-paru yang terkait dengan penggunaan vape sejak akhir-akhir ini.

Ujar beliau, langkah itu juga bagi mengelakkan trend vape terus menular sejak usia muda, khususnya membabitkan golongan pelajar sekolah di negeri ini.

“Oleh sebab itu, cadangan ini perlu dibawa ke MMKN supaya ada satu keputusan dibuat bagi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 dan Kembara Wellness On Wheel sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Japerun Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi@Mohd Hashim; Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai sambutan Hari Tibi Sedunia, Hee Sem memaklumkan tema pada tahun ini adalah ‘Bersama Hentikan Tibi: Perkasa Komitmen, Dana dan Perkhidmatan’ di mana ia membawa mesej keyakinan bahawa penyakit itu boleh dihapuskan melalui usaha bersepadu semua pihak.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, sebanyak 530 kes tibi telah direkodkan di Negeri Melaka dengan kadar insiden 48.6 per 100,000 penduduk.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk mendapatkan pemeriksaan secara percuma di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya mempunyai gejala batuk berpanjangan, berpeluh malam, demam dan penurunan berat badan.

“Dengan kerjasama pelbagai pihak, Kerajaan Negeri yakin dapat mencapai sasaran sifar tibi menjelang tahun 2035,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Perlis dan Terengganu telah melaksanakan larangan penjualan vape, manakala beberapa negeri lain turut sedang mempertimbangkan langkah sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

724
Kongsi :
Previous post OP BERSEPADU: MPJ KELUAR 15 KOMPAUN PELBAGAI KESALAHAN
Next post MELAKA HARAP KERAJAAN PERSEKUTUAN SERAGAMKAN LARANGAN VAPE