Sorting by

×

ASNAF BERSYUKUR DAPAT DAGING KORBAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Jun – Senyuman terukir di wajah Hawa Sahat, 45, seorang ibu tunggal dari Peringgit, apabila menerima sumbangan daging korban buat pertama kalinya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Dia merupakan antara penerima kategori asnaf yang diberikan sumbangan daging korban pada Program Korban Perdana Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025M/1446H dengan kerjasama Ez Qurban di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.

“Alhamdulillah, ini kali pertama saya dapat daging korban. Rasa syukur sangat, sebab dalam keadaan sekarang, setiap bantuan sangat bermakna.

“Biarpun tidak mewah seperti orang lain, tetapi setiap tahun saya akan pastikan anak-anak dapat raya bersama,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, sumbangan daging korban itu telah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat dan Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad.

Img 20250607 wa0018
HAWA

Hawa yang membesarkan empat orang anak seorang diri tanpa pekerjaan tetap, bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Saya memang sentiasa buat persediaan raya, walaupun serba sederhana. Tapi tahun ini rasa lain sedikit kerana dapat sumbangan seperti ini.

“Dapatlah masak daging korban ini untuk anak-anak, harap program seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang untuk membantu asnaf seperti saya.

“Terima kasih juga kepada MAIM dan semua yang terlibat. Moga murah rezeki semua yang menyumbang,” katanya.

Program tersebut menyaksikan sebanyak 25 ekor lembu dikorbankan bagi memastikan golongan yang memerlukan turut dapat merasai nikmat Aidiladha.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3529
Kongsi :
Previous post MBMB STRUKTUR SEMULA TAPAK PENJAJA KLEBANG