
KEMALANGAN BAS DI GERIK: UPSI SAHKAN 42 PELAJAR TERLIBAT
Bahagian Komunikasi Korporat UPSI ketika dihubungi memaklumkan sepatutnya 44 pelajar menaiki bas berkenaan.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI dalam kenyataan memaklumkan institusi pendidikan itu menerima laporan awal mengenai kemalangan jalan raya melibatkan pelajar mereka yang menaiki sebuah bas persiaran yang dilaporkan berlaku di kawasan Gerik.
“Pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berkaitan perkara itu. Sehubungan itu, pihak universiti memohon seluruh warga UPSI dan masyarakat umum untuk bersama-sama mendoakan agar urusan ini dipermudahkan,” menurut kenyataan itu.
Justeru, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI memaklumkan pihaknya sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar dan akan memberikan bantuan serta sokongan kepada waris.
Bahagian Komunikasi Korporat UPSI turut memaklumkan pihaknya telah membuka bilik gerakan dan sebarang maklumat boleh disalurkan di talian 05-450 7148 (pejabat) atau 019-571 9977 (hotline).
Dalam pada itu, seramai tujuh mangsa dirawat di zon merah, 20 orang di zon kuning dan enam mangsa di zon hijau.
Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan di JRTB Banun, Gerik awal pagi tadi.
PKOD APM Hulu Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu dari Hospital Gerik pada 1.10 pagi tadi. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.